Halaman

Wednesday 3 December 2008

Isu Bahasa Melayu

“Jika kita ingin memahami orang Melayu, kita perlu tinggal di negerinya, bertutur bahasanya, menghormati agamanya, meminati apa yang diminatinya, melayan apa yang disukai dan tidak disukainya, bersimpati dengannya dan menolongnya dalam kesusahan, sama-sama merasai keseronokan dan mungkin juga menanggung kerugiannya. Hanya dengan kepercayaannya inilah kita dapat memahami jiwanya dan pengetahuan seperti ini hanya boleh didapati oleh orang yang diberikan peluang tersebut dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.” Ungkapan ayat di atas bukanlah lahir daripada cendekiawan Melayu, tetapi daripada seorang lelaki asing, Sir Frank A Swettenham, Residen-Jeneral British pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu, dipetik dari bukunya, ‘Malay Sketches’. Tulisan Swettenham itu bukan sahaja patut dibaca pemimpin-pemimpin bukan Melayu tetapi patut juga dikaji oleh pemimpin-pemimpin Melayu sendiri. Kita boleh menempelak kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP kerana dangkal mentafsirkan status Bahasa Melayu sebagai bahasa rakyat, tetapi secara tidak sedar bahasa kebangsaan ini telah lama dihumban dan dibunuh oleh golongan-golongan elit yang mengaku pejuang bangsa dan negara. Menurut satu teori sejarah yang kuat, bahasa Melayu dikatakan berpunca daripada bahasa Austronesia, yakni asal usul bangsa Melayu yang berasal dari daerah Yunnan (bermaksud awan selatan) di China. Kemudiannya, bangsa Melayu yang datang dari Yunnan ini digelar sebagai Melayu Proto setelah berhijrah ke Asia Tenggara ketika zaman batu sehingga terbentuknya masyarakat Melayu Asli di Semenanjung Malaysia, dayak di Sarawak, Batak dan Komering di Sumatera. Kata nama Austronesia itu sendiri membawa maksud ‘Kepulauan Selatan’, diterjemahkan daripada Bahasa Latin, ‘australis’ yang bermaksud ‘selatan’ dan bahasa Yunani, ‘nesos’ yang bermaksud ‘pulau’. Bahasa bangsa Austronesia itu dikatakan tersebar luas ke merata dunia, dari Taiwan dan Hawaii di hujung utara sehinggalah ke Selandia Baru (Aotearoa) di hujung selatan dan dari Madagaskar di hujung barat sehinggalah ke Pulau Paskah (Rapanui) di hujung timur.

terima kasih Membaca .Sila Beri Respon.Di Petik Dari Sinar Harian.Oleh :: Mohd Azhan Othman

No comments: