Halaman

Wednesday 22 October 2008

Al Quran Kalamullah

Al-Quran Al-Karim adalah semulia-mulia kitab. Al-Quran Al-Karim adalah Kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kitab suci Al-Quran Al-Karim menjadi panduan dan pembimbing utama bagi umat Islam.
Kemuliaan kitab suci Al-Quran telah diketahui umum, di antaranya tidak boleh diletakkan di sebarang tempat, ia mesti diletakkan pada tempat yang sesuai dengan kemuliaan dan kesuciannya. Maka bagi menjaga kemuliaannya itu tidak boleh meletakkan benda lain di atasnya. Imam At-Turmuzi Rahimahullah berkata di dalam kitab Nawadir Al-Ushul dalam fasal yang ke-253 : "Hendaklah jangan diletakkan di atas Mushaf Al-Quran mana-mana buku supaya ianya tetap buat selamanya di atas semua buku." - Syed ‘Alawi, pengarang Sab’ah Kutub Mufidah, menerangkan bahawa Mushaf Al-Quran hendaklah diletakkan di atas segala buku sekiranya ianya diletakkan dan disusun bersama-sama buku lain, dan yang paling sesuai adalah lebih elok jika ianya diletakkan secara tergantung di tempat yang suci, misalnya pada dinding yang bersih di ruang-ruang utama rumah.
Tuntutan menghormati Al-Quran boleh ditinjau daripada berbagai sudut termasuk untuk mengambil berkatnya, bahkan tuntutan ini adalah berbentuk wajib, dan dari sudut akidah, jika tuntutan ini diabaikan, ia boleh membawa kerosakan akidah. Oleh itu ulama Islam menerangkan bahawa sesiapa dari kalangan orang-orang Islam yang menghina dan meremehkan kitab suci ini, ia boleh menjadi murtad. Imam Al-Ramli Rahimullah berkata :
"Perbuatan yang boleh membawa kufur termasuklah kesengajaan mempermain (meremehkan) agama dengan terang-terangan, atau menentangnya atau mengingkarinya, seperti mencampakkan Mushaf atau sesuatu yang padanya terdapat kandungan Al-Quran, bahkan, ataupun ianya nama-nama mulia, atau mana-mana hadis. Imam Al-Rayyani menambah : "ataupun mana-mana ilmu syarak, kekotoran atau yang menjijikkan (walaupun ia suci)." (Nihayah Al-Muhtaj : 7:416).
Dalam kehidupan sehari-hari murid-murid sekolah atau penuntut-penuntut agama sangat terdedah kepada kitab-kitab agama termasuk Mushaf Al-Quran. Oleh itu, para guru dan ibu bapa hendaklah memahamkan anak-anak atau murid-murid mereka cara menghormati dan memuliakan kitab-kitab agama dan sentiasa mengingatkan mereka akan hal ini. Pastikan bahawa buku-buku agama yang kadang-kadang bersamanya ada Mushaf Al-Quran di dalam beg sekolah, tidak diletak di tempat-tempat yang tidak terhormat seperti di lantai atau di kusyen kereta yang kadang-kadang menjadi penyandaran atau diletakkan berhampiran dengan kaki sehingga terpijak atau dilangkahi. Semua cara-cara ini bukan cara yang betul meletak kitab-kitab lebih-lebih lagi Mushaf Al-Quran.
Oleh kerana itu, dalam menyusun kitab-kitab atau buku-buku agama pastikan Mushaf Al-Quran sentiasa berada di atas sekali, baik susunan itu di atas meja atau di rak-rak buku atau di perpustakaan.
Demikianklah seterusnya kitab-kitab agama sentiasa di atas sekali dalam susunan bersama buku-buku yang lain.

Pengkatalogan atau cara menyusun letak buku-buku dan kitab-kitab merupakan salah satu ilmu perpustakaan. Tujuan ilmu ini adalah bagi mendisiplinkan letak susunan buku-buku dan kitab-kitab supaya lebih kemas dan mudah digunakan oleh penggunanya.
Dalam dunia perpustakaan telah banyak panduan yang dikemukakan oleh pakar perpustakaan tentang cara penyusunan buku-buku. Di antara sistem yang paling terkenal ialah sistem dewi dan kongres. Secara umumnya, kedua-dua sistem ini tidak membezakan antara kitab agama dengan buku-buku lainnya. Mengikut sistem ini kitab tafsir Al-Quran boleh diletakkan di bawah buku sejarah, kitab hadis boleh berada di bawah buku sastera dan sebagainya. Keadaan ini terjadi kerana mengikut sistem nama atau kategori ilmu yang terkandung di dalam buku berkenaan, atau berdasarkan unsur-unsur lain. Sistem ini jelas tidak berdasarkan kepada kemuliaan dan keagungan ilmu yang terkandung dalam sesebuah buku atau kitab itu dan tidak berdasarkan kemuliaan yang empunya kitab atau pengarangnya.
Seperti yang sudah disebutkan di awal-awal lagi, mengikut pendapat ulama Islam, dasar utama etika dalam meletakkan susunan buku-buku dan kitab-kitab agama adalah mengikut kemuliaan kitab dan pengarangnya. Syed Alawi bin Ahmad As-Saqqaf Rahimahullah mengatakan bahawa hendaklah diambil kira adab meletakkan susunan kitab-kitab berdasarkan kemuliaan kitab dan kemuliaan pengarangnya, oleh sebab itu hendaklah yang paling mulia diletakkan di sebelah atas. (Majmu’ah Sab’ah Kutub Mufidah, h : 24).
Mengikut panduan yang diberikan di atas, Mushaf Al-Quran Al-Karim hendaklah diletakkan di sebelah atas sekali, kemudian di sebelah bawah diiringi oleh kitab-kitab hadis sahih dengan mendahulukan Sahih Bukhari daripada Sahih Muslim, kerana selain Sahih Bukhari sebagai kitab hadis yang paling sahih, ianya juga lebih banyak mengandungi ayat-ayat Al-Quran. Sekiranya ada beberapa kitab ilmu pengetahuan yang sama banyak mengandungi ayat-ayat Al-Quran, termasuk risalah tahlil, panduan zikir, maka didahulukan kitab-kitab tafsir Al-Quran, kemudian diiringi oleh kitab-kitab syarah hadis, usuluddin, usul fikah, fikah nahu, sharaf, ilmu ma’ani, ilmu bayan, ilmu badi’ dan yang seumpamanya seterusnya diiringi oleh buku-buku syair Arab dan ilmu ‘arudh.
Beliau juga menerangkan bahawa sekiranya ada beberapa kitab yang bersamaan yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran, maka didahulukan kitab yang paling banyak mengandungi ayat-ayat Al-Quran, kemudian yang paling banyak mengandungi hadis. Selepas itu barulah diambil kira pula kemuliaan dan keagungan pengarangnya, dan yang paling banyak dipakai oleh para ulama dan orang-orang salihin, serta kitab yang paling diperakui tentang kesahihan kandungannya.

Penghormatan yang selayaknya kepada kitab-kitab termasuk menerusi cara penyusunannya seperti yang disebut di atas, selain daripada satu perkara yang dituntut oleh agama, ia bertujuan bagi memperolehi berkat dan manfaat ilmu berkenaan. Walau sebanyak mana ilmu yang dicari dan walau setinggi mana peringkat pembelajaran yang diterokai, tanpa keberkatan dan manfaat ilmu, ia dianggap sia-sia dari sudut pandangan agama. Khasnya kepada para penuntut, mereka tidak akan memperolehi ilmu yang sebenar yang bermanfaat melainkan dengan menghormati ilmu, ahli ilmu, guru dan kitab.
Syeikh Az-Zarnuji Rahimahullah di dalam kitab Ta’lim Al-Muta’allim berkata :
"Ingatlah, bahawa para penuntut ilmu tidak akan memperolehi ilmu dan manfaatnya melainkan dengan menghormati ilmu, ahli ilmu dan guru." (H : 19).
Katanya lagi : "Cara menghormati ilmu itu termasuklah juga menghormati kitab-kitab." (H : 18).

1 comment:

Zul-Elle said...

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sinarilah rumah kamu dengan mengerjakan sembahyang dan membaca al-Quran" (Riwayat Al-Baihaqi)