SECARA umumnya, kita percaya setiap rumah kediaman orang-orang Islam pasti menyimpan buku atau kitab-kitab agama, sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Arab atau dalam bahasa-bahasa lainnya. Dalam hubungan ini termasuklah Mushaf Al-Quran Al-Karim, sama ada secara lengkap atau bersama tulisan lain.
Buku atau kitab dalam kaca mata Islam adalah khazanah mutiara yang bernilai yang perlu dihormati kerana ia mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang telah dituangkan oleh pengarangnya dalam bentuk tulisan, sebagai panduan dan pembimbing bagi sesiapa yang membacanya. Di samping itu apabila disebut sebagai buku agama (kitab) pada lazimnya ia mengandungi petikan-petikan ayat-ayat Al-Quran Al-Karim, hadis-hadis Nabawi, atau paling tidaknya terjemahan maknanya atau qaul-qaul ulama.
Selain dari yang disebut sebagai kitab, ada lagi sejenis kitab dalam ukuran kecil yang lazim disebut ulama sebagai risalah atau kurrasat. Buku kecil atau risalah ini banyak dimiliki orang awam yang di antaranya mengandungi zikir, selawat dan doa-doa yang juga terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran Al-Karim dan hadis-hadis Nabawi.
Pada masa ini ada di antara buku-buku atau kitab-kitab itu diperolehi secara percuma, sama ada yang diberikan oleh pihak kerajaan di majlis-majlis rasmi atau oleh orang perseorangan secara sukarela dalam bentuk wakaf. Keadaan ini menjadikan orang ramai dengan mudah dapat memiliki berbagai jenis buku atau kitab, kerana banyaknya buku-buku dan kitab-kitab itu ada di antara mereka yang membuat perpustakaan mini peribadi di rumah.
Mengikut ulama-ulama yang muktabar, kesemua kitab agama, baik yang besar atau yang kecil, mestilah dihormati dan dimuliakan dengan harapan untuk mengambil manfaatnya. Walaupun banyak mana kitab yang dimiliki, jika tidak diperolehi manfaatnya, ia adalah bagaikan barangan yang dibawa oleh keldai, tetapi sang keldai tidak dapat memanfaatkan barangan yang dibawanya.
Di antara etika menghormati dan memuliakan buku-buku atau kitab-kitab agama ialah tidak meletakkannya di sebarang tempat, terutamanya di tempat yang hina dan terdedah kepada penghinaan, seperti di lantai, di tempat yang kotor, di bawah tempat tidur dan sebagainya.
Sekiranya sesebuah kitab agama terpaksa diletakkan juga di lantai, maka hendaklah diletakkan sekatan atau pelapik di antara ramai dengan buku berkenaan. Demikian diterangkan oleh pengarang kitab ‘Majmu’ah Sab’ah Kutub Mufidah’. (H : 24).
Sesungguhnya orang yang mengenali nilai dan kemuliaan buku-buku atau kitab-kitab agama Islam hanyalah orang Islam, terutamanya para ulama. Justeru itulah para ulama sangat mengambil berat tentang etika dan tatacara meletakkan kedudukan dan susunan buku-buku atau kitab-kitab agama Islam. Merekalah yang ahli dalam menangani penyusunan dan etika menghormati buku-buku atau kitab-kitab agama dengan mengambil kira tentang kedudukan isi kandungan sesebuah kitab itu, begitu juga tentang kedudukan pengarangnya. Mereka meletakkan yang paling mulia dan dihormati secara tersusun mulai dari atas ke bawah, bukan dari bawah ke atas.
No comments:
Post a Comment